Jumaat, 10 Julai 2009

JALAN-JALAN BERSAMA KELUARGA

JALAN-JALAN BERSAMA KELUARGA

Ramai orang suka jalan-jalan. Istilah jalan-jalan pula membawa definisi yang pelbagai, mengikut persepsi masing-masing. Jalan-jalan bererti perbuatan berkunjung atau melawat sesuatu tempat sama ada dengan tujuan khusus, atau untuk membuang-buang waktu atau secara kebetulan berada di suatu tempat kemudian mengambil kesempatan itu untuk menikmati suasana persekitaran tempat tersebut.
Bagi golongan remaja bandar atau kota raya hari ini (tidak semua), jalan-jalan lebih bermaksud berpeleseran tanpa tujuan di lorong-lorong atau pusat beli belah. Mereka menghabis waktu selepas persekolahan sehingga malam dengan jalan-jalan ke sana-sini. Malah ada yang jalan-jalan sehingga ke dinihari. Golongan remaja di pelosok kampung yang nun jauh ke pedalaman juga suka jalan-jalan. Perbezaan mereka dengan remaja di bandar hanyalah dari segi lokasi atau tempat jalan-jalan. Remaja kampung biasanya menghabiskan waktu dengan jalan-jalan dalam hutan. Teringat saya sewaktu kecil dahulu, saya gemar masuk hutan untuk membuat jerat atau menangkap burung. Namun, remaja kampung ini biasanya balik ke rumah sebelum menjelang malam. Kerana kalau tidak, alamat tersesat dalam hutan apabila kegelapan malam menyelubungi denai di hutan.
Dewasa ini, terdapat hutan-hutan berhampiran kota raya yang dipelihara sebagai lokasi jalan-jalan untuk remaja di kota. Jalan-jalan di hutan seperti ini sangat baik dan berfaedah. Bukan sahaja merehatkan keletihan minda dari kekelamkabutan hidup di kota besar, tetapi ianya juga membekalkan pengetahuan dan pengalaman tentang alam sekitar dan habitat hutan. Pengetahuan dan pengalaman yang luas mengenai hutan serta kepelbagaian flora dan faunanya amat penting untuk menimbulkan kesedaran tentang pentingnya mengekalkan hutan kita.
Dalam catatan ini, saya lebih gemar bercerita tentang keseronokan jalan-jalan bersama keluarga. Saya memang suka jalan-jalan. Pada saya jalan-jalan bukan sahaja membuatkan fikiran dan minda saya rehat dari memikirkan soal kerja rasmi, tetapi jalan-jalan juga baik untuk kesihatan otot, jantung dan mata. Tabiat suka jalan-jalan terbawa-bawa selepas saya sudah berkeluarga. Yang syoknya tu kerana saya lebih suka jala-jalan di hutan-hutan atau pusat rekreasi berasaskan flora dan fauna. Kecenderungan ini juga turut disukai oleh isteri dan anak-anak saya. Mereka juga memahami apabila saya mengatakan bahawa pusat beli belah adalah tempat yang paling tidak sesuai untuk jalan-jalan. Sebab udaranya tidak semulajadi seperti mana udara di dalam hutan. Maka itu, biasanya kalau isteri dan anak-anak saya masuk ke pusat beli belah, saya akan pergi ke tempat lain atau duduk di taman bunga. Saya hanya boleh bertahan selama sejam setengah berada dalam pusat beli belah. Selepas tu, betis saya pasti terasa amat sakit sehingga terpaksa duduk. Saya pernah dimarahi oleh pengawal keselamatan pasar raya kerana duduk atas tangga. Ya la, dah penat! Mana ada bangku untuk duduk dalam pasar raya.

Sewaktu cuti semester pertama yang baru lalu, saya dan keluarga berkesempatan jalan-jalan ke beberapa tempat yang menarik di daerah Ranau. Antaranya, Taman Peringatan Perang dan Taman Orkid di Kundasang. Selepas itu, kami ke Pusat Tagal Sungai Murali, Kg. Luanti Baru, Ranau. Walaupun tempat-tempat ini sudah amat biasa bagi saya, tetapi anak-anak saya belum pernah jalan-jalan di sini. Maka itu, ada kesempatan saya bawalah mereka jalan-jalan. Jalan-jalan menikmati tinggalan sejarah dan kepelbagaian bunga orkid. Bukan jalan-jalan cari makan. Hehehe.
Taman Peringatan Kundasang adalah taman bertema untuk memperingati askar-askar Australia yang terkorban di Borneo Utara (Sabah) semasa Perang Dunia Ke-2. Jalan-jalan di tempat ini sangat mengujakan anak-anak saya. Anak saya yang sulung, Archdeboney lebih teruja apabila membaca nama-nama perajurit yang terkorban. Sebabnya..... ramai yang namanya bermula dengan ARCH. Jadi, diapun menggelarkan dirinya sebagai perajurit yang berani mati. Lalu, saya mencabarnya untuk berani mati mempertahankan bumi Malaysia dari ancaman musuh. "Bagaimana supaya saya boleh jadi perajurit dan pertahankan Malaysia, sedangkan Malaysia ni aman damai ? Bukan ada musuhpun..." Dia berseloroh. "Kamu harus berjuang dari sekarang dengan belajar bersungguh-sungguh supaya menjadi warga yang berilmu. Dalam masa yang sama, kamu harus kekal menjadi anak yang berdisiplin, berkelakuan baik, taat kepada ajaran agama dan mematuhi peraturan sekolah kamu. Dengan demikian, apabila kamu dewasa nanti, kamu akan jadi warganegara yang berilmu dan menyumbang kepakaran untuk kemakmuran Malaysia dan dalam masa yang sama kamu akan taat dan patuh kepada undang-undang negara. Jangan jadi perosak negara dengan menyertai demonstrasi atau mencemuh negara sendiri apabila berada di luar negara." Jelasku kepadanya dengan panjang lebar. Diapun senyum. Harap-harap dia akan ingat kata-kata saya itu. Jauh dalam hati, seperti hendak menyiat-nyiat beberapa ahli politik di Malaysia ini yang sengaja menimbulkan kekacauan dengan mengadakan demonstrasi, kenyataan akhbar yang kebudak-budakan dan memperolok-olok kedaulatan undang-undang negara. Orang-orang ini bukan fikirkan kepentingan rakyat yang miskinpun. Mereka hanya nak berkuasa, supaya dapat membolot kekayaan negara untuk diri mereka sendiri. Tunjuk hebat, tetapi mereka tidak sedar yang perbuatan mereka itu menunjukkan kebodohan mereka yang amat bodoh. Harap-harap pemimpin negara dalam kerajaan Barisan Nasional akan lebih lantang dan memilih perkataan tepat untuk menutup mulut orang-orang politik serpihan ini. Sambil jalan-jalan di Taman Peringatan Perang ini, hatiku jadi panas pulak. Akhirnya aku duduk rehat di bangku panjang di hadapan plak senarai nama pejuang-pejuang yang terkorban itu. Anak bungsoku dan anakku yang kedua berkejaran keliling kolam jernih dalam ruang senarai nama pejuang-pejuang itu. Tiba-tiba isteriku memanggilku untuk ambil gambar.
Selepas menikmati sejarah yang terdapat di taman peringatan ini, kami jalan-jalan pula ke Taman Orkid Kundasang. Di tempat ini, isteri saya dan ibunya (ibu mertuku) pula yang sangat teruja. Mereka berdua seperti 'rambang mata' dah.
Nak yang tu, nak yang ni, yang tu lagi cantik dan macam lagi istilah yang keluar dari mulut. Saya amat terhibur dengan telatah mereka dua beranak, walaupun perut saya dah mula berkeroncong. Anak-anakku dan seorang sepupu mereka (anak adik iparku) seronok main sorok-sorok di antara pokok-pokok bunga orkid yang beraneka warna. Saya pula kagum dengan kesungguhan dan kegigihan pengusaha taman ini mewarnai kulit bumi dengan tumbuhan bunga yang berwarna-warni. Kalaulah aku dapat menumbuhkan orkid-orkid ini di kawasan sekolah kami, pasti sekolah jadi sekolah dalam taman dan menang anugerah....hahahha... berkhayal lagi aku. Begitulah seronoknya jalan-jalan bersama keluarga. Asalkan tempat jalan-jalan tu bukan tempat yang membuat dompet mengempis. Isteri dan ibu mertuaku masih sibuk memilih-milih jenis bunga orkid yang hendak dibeli. Nampak gayanya, bonet kereta saga baru kami tu memang tak muat. Lalu aku tanya isteriku, "Perlukah saya tempah lori lembu?" Lalu isteriku ketawa sebab waktu kami ke taman orkid ini, banyak lembu dan tahi lembu di tepi jalan. Ibu mertuaku juga ikut ketawa sebab dia faham maksudku yang sebenar dan dia tahu aku hanya main-main. Kami makan tengah hari di taman ini sambil menikamti keindahan bunga dan menghirup udara harum dari haruman bunga.
Dalam perjalanan pulang ke Beluran, kami singgah mandi di Pusat Tagal Sungai Murali Kg. Luanti Baru Ranau. Apabila kami sampai, kami menunggu hampir sejam untuk dapat peluang bermesra dengan ikan-ikan di sungai ini. Ini disebabkan terlalu ramai pengunjung pada hari itu (30-05-2009). Pengurus pusat ini hanya membenarkan 20 orang satu sesi untuk bermesra dengan ikan. Ikan-ikan di sungai ini dilatih untuk mesra dengan manusia. Sesi ini dipanggil DIURUT OLEH IKAN. Sebenarnya ikan-ikan itu bukan mengurut sebaliknya menggesel-geselkan badan mereka sambil menghisap kulit badan kita. Namun, ikan sejinak di Sungai Murali agak sukar ditemui di tempat lain, kecuali ia memang dilatih.
Disebabkan masih ada pengunjung yang menunggu giliran, maka kami hanya diberikan tempoh 15 minit sahaja untuk diurut oleh ikan. Agak kecewa juga. Tetapi sebagai pengunjung yang sedar perlu menghormati habitat ikan itu, maka kami akur. Bagi saya yang sudah dua kali ke tempat ini, memang dah puas dah. Tetapi anak-anak saya belum puas. Jadi mereka minta supaya dapat datang lagi ke tempat ini. Ya, memang kalau ada masa yang terluang, saya mesti bawa mereka kembali lagi. Saya berharap anak-anak saya menjadi warga yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar. Mencintai sungai dan biodiversitinya.
Lalu saya menjelaskan kepada anak-anak saya, bahawa kerosakan teruk sungai, seperti Sg. Milian di Ulu Sg. Kinabatangan berlaku akibat sikap yang rakus, tamak dan haloba manusia mengejar keuntungan. Sepatutnya
sesiapa sahaja, baik pemimpin, usahawan atau orang awam, sedar perlunya mengekalkan keaslian sungai supaya generasi akan datangpun boleh menikmatinya. Anak-anak saya angguk kepala. Tetapi adakah mereka faham apa yang saya cakap? Harapan saya mereka akan menjadi penerus kesemulajadian alam sekitar yang mereka lihat hari ini.
Selepas mandi-manda, kamipun bertolak pulang ke rumah. Sepanjang hari ini, saya amat seronok berjalan-jalan bersama keluarga. Saya menyedari bahawa jalan-jalan bersama keluarga lebih mengeratkan tali kekeluargaan kami. Selain itu, kami juga menikmati pengajaran dari sejarah lalu, haruman semulajadi dari tumbuhan alam ciptaan Tuhan dan selesa dengan urutan ikan yang menunjukkan betapa ciptaan Tuhan penuh dengan keunikannya. Akhirnya, saya memandu sambil memikirkan, berapa peratuskah manusia di muka bumi ini yang jalan-jalan bersama keluarga untuk menikmati alam ciptaan Tuhan Yang Maha Esa? Berapa peratus pula, yang berusaha memusnahkan kesemulajadian alam ini atas nama pembangunan yang diracuni kerakusan dan ketamakan sendiri......?

Isnin, 27 April 2009

KENALI ILOFIRA





KENALI ILOFIRA




ILOFIRA merupakan akronim dari I Love Our Family - Isau, Rostikah,Archdeboney,Addbelcurney dan Aveilofiraney.Sehubungan itu, kami sekeluarga dengan sehati menamakan keluarga kami sebagai Keluarga Ilofira.

Visi Keluarga Ilofira ialah Keluarga Yang Sukses dan Bahagia Dalam Pimpinan Tuhan.



Misi Keluarga Ilofira ialah Menyediakan Keperluan Asas dan Persekitaran Yang Membantu Pembesaran dan Perkembangan Anak-Anak ILOFIRA Agar Dapat Menyerlahkan Potensi dan Kemampuan Kognitif dan Psikomotor Supaya Mencapai Kehidupan Yang Lebih Maju dan Sihat Pada Masa Hadapan.


Keluarga Ilofira bermula dengan pertemuan dua remaja pada 30 Jun 1993, iaitu jejaka bernama Isau Maidin dari Kg. Alitang Penangah Kinabatangan dengan si dara bernama Rostikah Jeppy dari Kg. Kuala Pelanduk, Beluran. Pertemuan itu menyemai bibit-bibit cinta yang akhirnya dimeterai dalam sebuah majlis perkahwinan Nikah Kudus yang sederhana meriah di Gereja St.Andrew Beluran pada 02 Disember 1995.

Hari ini, Keluarga Ilofira makin berkembang dan mempunyai tiga orang cahaya mata. Anak sulung diberi nama ARCHDEBONEY (lelaki) lahir pada 28 November 1996. Anak kedua bernama ADDBELCURNEY (lelaki) dilahirkan dengan sihat pada 09 Jun 1998. Anak bungsu (setakat ini) diberi nama AVEILOFIRANEY dilahirkan pada 20 Disember 2004, merupakan seorang puteri yang amat ceria dan sentiasa membawa kami sekeluarga riang dan ketawa.
Keluarga Ilofira kini menetap di Taman Pandan, Jalan Kolapis, Beluran. Kami sekeluarga amat bersyukur tinggal dalam sebuah negara yang aman dan harmoni, MALAYSIA. Namun begitu, Ilofira amat risau dan gusar dengan perubahan semasa di negara kita yang tercinta ini. Makin ramai anak-anak muda kita bersifat ganas dan melampaui batas kemanusiaan. Ilofira sentiasa mendoakan mudah-mudahan anak-anak Ilofira terhindar dari etika yang tidak sesuai dengan budaya masyarakat di negara ini. Ramai juga ahli-ahli politik yang semakin mementingkan diri dalam perjuangan mereka, sehingga sanggup memperlekehkan kedaulatan undang-undang negara dan institusi raja-raja.






KELUARGA ILOFIRA






Isau bin Maidin adalah Ketua Keluarga. Beliau dilahirkan pada 15 Februari 1971 di KampungBolontos, Penangah, Kinabatangan. Anak ke-5 daripada 10 orang adik beradik. Berasal dari keluarga yang sangat daif, menyebabkan beliau berusaha keras mencapai kemajuan dalam pelajaran semasa di bangku sekolah. Kesedaran pentingnya berjaya dalam pelajaran hadir dalam dirinya sejak di Darjah Lima atau pada tahun 1982. Walaupun beliau murid yang agak lambat memahami pengajaran guru, namun kerana usaha keras dan kesungguhannya, maka beliau berjaya memperoleh Gred 2 SPM (1988) dan sijil penuh STPM (4P) pada tahun 1990. Beliau sentiasa mengenang budi baik guru-guru yang pernah mengajarnya. Sebab itu minat dalam bidang keguruan telah tertanam dalam jiwanya sejak di Tingkatan 2 lagi.
Sekarang beliau sudah berkhidmat sebagai seorang guru selama 14 tahun dan 11 tahun dari tempoh itu beliau diberi kepercayaan mentadbir sebuah sekolah pedalaman di Beluran. Sebagai seorang guru beliau bangga kerana semakin ramai juga bekas muridnya yang sudah menjawat jawatan dalam kerajaan dan swasta. Lebih dari lima orang muridnya juga sedang menuntut di universiti awam. Kejayaan anak-anak didiknya menjejakkan kaki ke universiti membuat beliau dimotivasi untuk meningkatkan lagi tahap pendidikannya. Maka itu, beliau mengikuti Pendidikan Luar Kampus di Pusat Luar Universiti Malaysia Sabah (PLUMS) dalam jurusan Sarjana Muda Pendidikan (Sejarah) pada Julai 2007 sebelum berhenti pada Januari 2008 untuk mengikuti Program Khas Pensiswazahan Guru Besar dalam jurusan Sarjana Muda Pengurusan Pendidikan di Universiti Malaysia Sabah.
Sebagai seorang suami dan seorang ayah, beliau selalu berusaha untuk menjadi yang terbaik untuk isteri yang disayanginya dan ayah yang bertanggungjawab untuk anak-anaknya. Secara jujur beliau amat bersyukur kepada Tuhan, kerana beliau ditemukan dengan isterinya. Rostikah adalah seorang wanita yang tegas tetapi penyayang dan berani tetapi sensitif serta cepat merajuk.
Beliau sentiasa menekankan kepentingan menguasai Bahasa Inggeris. Justeru, beliau sentiasa meminjam atau membeli buku-buku bahasa Inggeris untuk dibaca. Beliau bangga apabila melihat anak sulungnya mula meminjam buku cerita Bahasa Inggeris dari perpustakaan sekolah. Beliau berharap agar anak-anaknya lebih maju dan cemerlang dari dirinya apabila mereka dewasa kelak.
Rostikah Jeppy, dilahirkan pada 02 April 1976 di Kg. Sungai-Sungai, Sugut dalam daerah Beluran. Ayahnya adalah seorang guru dan menjadikan kehidupan mereka sekeluarga sering berhijrah mengikut tempat ayah bertugas. Rostikah Jeppy adalah anak ketiga dari 9 orang adik beradik. Sebagai seorang
anak cikgu, dia mempunyai peluang untuk melanjutkan pelajaran, mengikut bidang yang diminatinya. Namun, beliau lebih suka menjadi Pengurus Rumahtangga untuk memastikan anak-anaknya mendapat perhatian yang sewajarnya dari ibu kandung sendiri.
Beliau bersekolah sehingga ke peringkat Tingkatan Lima dan mendapat Sijil SPM. Pertemuan dengan suaminya menjadi tarikh dan saat yang amat berharga dalam hidupnya. Dia amat menyayangi suaminya dan sentiasa membantu menyelesaikan kesulitan-kesulitan yang dihadapi suaminya dalam kerjaya. Bagi beliau, suaminya amat mementingkan pencapaian objektif dalam kerjaya. Sebab itu, jika program sudah dirancang, maka beliau akan turut membantu suami supaya program itu mencapai objektif yang ditetapkan. Kerana beliau tahu, suaminya akan kecewa jika objektif yang ditetapkan tidak tercapai. Anak-anak adalah dunianya. Kerana mereka adalah tanda ikatan kasih sayang antara dia dan suami. Justeru itu, beliau rela tidak bekerja kerana mahu mengurus rumahtangganya sendiri.
Beliau tidak mahu anak-anaknya dijaga oleh orang gaji, yang mungkin merosakkan pemikiran atau mengancam keselamatan anak-anaknya.
Minat utama pengurus rumahtangga ini adalah memasak. Dia selalu memasak untuk suami tersayang dan anak-anak yang dikasihi. Malah, beliau menghadiri Kursus Asas Pengurusan Rumahtangga anjuran KEMAS Beluran, semata-mata memahirkan diri menyediakan makanan yang digemari oleh suami dan anak-anak.
Harapannya ialah supaya anak-anaknya mewarisi kecekalan ayah mereka dalam menempuh perjuangan menuntut ilmu pengetahuan. Puan ini berdoa agar Roh Kudus sentiasa melindungi rumah dan kehidupan keluarganya supaya selamat dan sejahtera di dalam KASIH Tuhan Yesus Kristus, Juruselamat Umat Manusia.






Anak sulung Ilofira ini dilahirkan pada 28 November 1996 di Hospital Daerah Beluran. Semasa kelahirannya ayahnya baru balik dari kursus literasi komputer. Jadi bayangkan bagaimana perasaan ayahnya menyambut kelahiran anak sulung dalam keadaan yang penat. Balik dari kursus selama dua minggu, niatnya hendak tidur menebus masa kursus kurang tidur. Tetapi isteri tersayang sudah berada di hospital, mata pula tidak dapat dipejamkan. Asyik memikir bagaimana rupa anak sulungnya. Jauh di sudut hati berdoa agar si isteri selamat bersalin. Akhirnya mata terlelap dan hanya terbagun hampir jam 7 pagi esoknya.Kelam kabut pergi ke hospital. Rupanya anak sulung ini sudah selamat dilahirkan seawal jam 2 pagi 28 November 1996 itu. Hati yang melonjak dek kegirangan terus menamainya ARCHDEBONEY, dengan harapan dia akan menjadi kebanggaan ILOFIRA suatu hari nanti.






Anak Iloofira yang kedua ini diberi nama ADDBELCURNEY dilahirkan pada 09 Jun 1998 di hospital yang sama. Sewaktu kelahirannya, ayahnya tidak ada di sisi kerana sedang melaksanakan amanat dan tugas kepada bangsa dan negara, di sebuah sekolah pedalaman dalam daerah Beluran, iaitu SK Obah Beluran. Kelahiran bayi comel ini,seolah-olah menyambut bulan ketiga ayahnya selaku Guru Besar di sekolah tersebut. Seorang anak yang tampan, namun punyai pembawaan yang sukar diramal, diharap akan menambah kekuatan hubungan antara komuniti daerah ayah dan ibunya.





Anak Ilofira yang ketiga ini dilahirkan pada 20 Disember 2004, iaitu lima hari sebelum Hari Krismas 2004. Namun, si perawan tetap menjadi HADIAH KRISMAS yang termahal dalam Keluarga Ilofira. Oleh kerana kehadirannya sebagai anak wanita pertama dalam Keluarga Ilofira, maka ia tetap menjadi kebanggaan dan disayangi sebagai wanita pertama adik beradik ILOFIRA. Justeru itu dinamai AVEILOFIRANEY. Semoga si perawan comel ini, dengan gaya dan celoteh yang menghiburkan seisi Keluarga Ilofira, akan membesar dalam pimpinan Tuhan dan diurapi dengan kebijaksanaan menghadapi cabaran di dunia ini.















































































































































































































Isnin, 20 April 2009

SALAM PERKENALAN

Salam Perkenalan Kepada Saudara/i Pengunjung ILOFIRA.

Kami baru hendak berjinak-jinak dengan kemudahan blog yang disediakan melalui capaian internet. Walaupun keluarga Ilofira tinggal di pedalaman, namun kami turut merasai kemajuan dan kecanggihan teknologi maklumat yang pesat maju di negara yang kami cintai, MALAYSIA.

Maka itu, Ilofira amat mengharapkan pertukaran idea di kalangan para pengunjung laman blog kami pada masa akan datang.

Salam Hormat dan Salam Perpaduan.

ILOFIRA