Isnin, 27 April 2009

KENALI ILOFIRA





KENALI ILOFIRA




ILOFIRA merupakan akronim dari I Love Our Family - Isau, Rostikah,Archdeboney,Addbelcurney dan Aveilofiraney.Sehubungan itu, kami sekeluarga dengan sehati menamakan keluarga kami sebagai Keluarga Ilofira.

Visi Keluarga Ilofira ialah Keluarga Yang Sukses dan Bahagia Dalam Pimpinan Tuhan.



Misi Keluarga Ilofira ialah Menyediakan Keperluan Asas dan Persekitaran Yang Membantu Pembesaran dan Perkembangan Anak-Anak ILOFIRA Agar Dapat Menyerlahkan Potensi dan Kemampuan Kognitif dan Psikomotor Supaya Mencapai Kehidupan Yang Lebih Maju dan Sihat Pada Masa Hadapan.


Keluarga Ilofira bermula dengan pertemuan dua remaja pada 30 Jun 1993, iaitu jejaka bernama Isau Maidin dari Kg. Alitang Penangah Kinabatangan dengan si dara bernama Rostikah Jeppy dari Kg. Kuala Pelanduk, Beluran. Pertemuan itu menyemai bibit-bibit cinta yang akhirnya dimeterai dalam sebuah majlis perkahwinan Nikah Kudus yang sederhana meriah di Gereja St.Andrew Beluran pada 02 Disember 1995.

Hari ini, Keluarga Ilofira makin berkembang dan mempunyai tiga orang cahaya mata. Anak sulung diberi nama ARCHDEBONEY (lelaki) lahir pada 28 November 1996. Anak kedua bernama ADDBELCURNEY (lelaki) dilahirkan dengan sihat pada 09 Jun 1998. Anak bungsu (setakat ini) diberi nama AVEILOFIRANEY dilahirkan pada 20 Disember 2004, merupakan seorang puteri yang amat ceria dan sentiasa membawa kami sekeluarga riang dan ketawa.
Keluarga Ilofira kini menetap di Taman Pandan, Jalan Kolapis, Beluran. Kami sekeluarga amat bersyukur tinggal dalam sebuah negara yang aman dan harmoni, MALAYSIA. Namun begitu, Ilofira amat risau dan gusar dengan perubahan semasa di negara kita yang tercinta ini. Makin ramai anak-anak muda kita bersifat ganas dan melampaui batas kemanusiaan. Ilofira sentiasa mendoakan mudah-mudahan anak-anak Ilofira terhindar dari etika yang tidak sesuai dengan budaya masyarakat di negara ini. Ramai juga ahli-ahli politik yang semakin mementingkan diri dalam perjuangan mereka, sehingga sanggup memperlekehkan kedaulatan undang-undang negara dan institusi raja-raja.






KELUARGA ILOFIRA






Isau bin Maidin adalah Ketua Keluarga. Beliau dilahirkan pada 15 Februari 1971 di KampungBolontos, Penangah, Kinabatangan. Anak ke-5 daripada 10 orang adik beradik. Berasal dari keluarga yang sangat daif, menyebabkan beliau berusaha keras mencapai kemajuan dalam pelajaran semasa di bangku sekolah. Kesedaran pentingnya berjaya dalam pelajaran hadir dalam dirinya sejak di Darjah Lima atau pada tahun 1982. Walaupun beliau murid yang agak lambat memahami pengajaran guru, namun kerana usaha keras dan kesungguhannya, maka beliau berjaya memperoleh Gred 2 SPM (1988) dan sijil penuh STPM (4P) pada tahun 1990. Beliau sentiasa mengenang budi baik guru-guru yang pernah mengajarnya. Sebab itu minat dalam bidang keguruan telah tertanam dalam jiwanya sejak di Tingkatan 2 lagi.
Sekarang beliau sudah berkhidmat sebagai seorang guru selama 14 tahun dan 11 tahun dari tempoh itu beliau diberi kepercayaan mentadbir sebuah sekolah pedalaman di Beluran. Sebagai seorang guru beliau bangga kerana semakin ramai juga bekas muridnya yang sudah menjawat jawatan dalam kerajaan dan swasta. Lebih dari lima orang muridnya juga sedang menuntut di universiti awam. Kejayaan anak-anak didiknya menjejakkan kaki ke universiti membuat beliau dimotivasi untuk meningkatkan lagi tahap pendidikannya. Maka itu, beliau mengikuti Pendidikan Luar Kampus di Pusat Luar Universiti Malaysia Sabah (PLUMS) dalam jurusan Sarjana Muda Pendidikan (Sejarah) pada Julai 2007 sebelum berhenti pada Januari 2008 untuk mengikuti Program Khas Pensiswazahan Guru Besar dalam jurusan Sarjana Muda Pengurusan Pendidikan di Universiti Malaysia Sabah.
Sebagai seorang suami dan seorang ayah, beliau selalu berusaha untuk menjadi yang terbaik untuk isteri yang disayanginya dan ayah yang bertanggungjawab untuk anak-anaknya. Secara jujur beliau amat bersyukur kepada Tuhan, kerana beliau ditemukan dengan isterinya. Rostikah adalah seorang wanita yang tegas tetapi penyayang dan berani tetapi sensitif serta cepat merajuk.
Beliau sentiasa menekankan kepentingan menguasai Bahasa Inggeris. Justeru, beliau sentiasa meminjam atau membeli buku-buku bahasa Inggeris untuk dibaca. Beliau bangga apabila melihat anak sulungnya mula meminjam buku cerita Bahasa Inggeris dari perpustakaan sekolah. Beliau berharap agar anak-anaknya lebih maju dan cemerlang dari dirinya apabila mereka dewasa kelak.
Rostikah Jeppy, dilahirkan pada 02 April 1976 di Kg. Sungai-Sungai, Sugut dalam daerah Beluran. Ayahnya adalah seorang guru dan menjadikan kehidupan mereka sekeluarga sering berhijrah mengikut tempat ayah bertugas. Rostikah Jeppy adalah anak ketiga dari 9 orang adik beradik. Sebagai seorang
anak cikgu, dia mempunyai peluang untuk melanjutkan pelajaran, mengikut bidang yang diminatinya. Namun, beliau lebih suka menjadi Pengurus Rumahtangga untuk memastikan anak-anaknya mendapat perhatian yang sewajarnya dari ibu kandung sendiri.
Beliau bersekolah sehingga ke peringkat Tingkatan Lima dan mendapat Sijil SPM. Pertemuan dengan suaminya menjadi tarikh dan saat yang amat berharga dalam hidupnya. Dia amat menyayangi suaminya dan sentiasa membantu menyelesaikan kesulitan-kesulitan yang dihadapi suaminya dalam kerjaya. Bagi beliau, suaminya amat mementingkan pencapaian objektif dalam kerjaya. Sebab itu, jika program sudah dirancang, maka beliau akan turut membantu suami supaya program itu mencapai objektif yang ditetapkan. Kerana beliau tahu, suaminya akan kecewa jika objektif yang ditetapkan tidak tercapai. Anak-anak adalah dunianya. Kerana mereka adalah tanda ikatan kasih sayang antara dia dan suami. Justeru itu, beliau rela tidak bekerja kerana mahu mengurus rumahtangganya sendiri.
Beliau tidak mahu anak-anaknya dijaga oleh orang gaji, yang mungkin merosakkan pemikiran atau mengancam keselamatan anak-anaknya.
Minat utama pengurus rumahtangga ini adalah memasak. Dia selalu memasak untuk suami tersayang dan anak-anak yang dikasihi. Malah, beliau menghadiri Kursus Asas Pengurusan Rumahtangga anjuran KEMAS Beluran, semata-mata memahirkan diri menyediakan makanan yang digemari oleh suami dan anak-anak.
Harapannya ialah supaya anak-anaknya mewarisi kecekalan ayah mereka dalam menempuh perjuangan menuntut ilmu pengetahuan. Puan ini berdoa agar Roh Kudus sentiasa melindungi rumah dan kehidupan keluarganya supaya selamat dan sejahtera di dalam KASIH Tuhan Yesus Kristus, Juruselamat Umat Manusia.






Anak sulung Ilofira ini dilahirkan pada 28 November 1996 di Hospital Daerah Beluran. Semasa kelahirannya ayahnya baru balik dari kursus literasi komputer. Jadi bayangkan bagaimana perasaan ayahnya menyambut kelahiran anak sulung dalam keadaan yang penat. Balik dari kursus selama dua minggu, niatnya hendak tidur menebus masa kursus kurang tidur. Tetapi isteri tersayang sudah berada di hospital, mata pula tidak dapat dipejamkan. Asyik memikir bagaimana rupa anak sulungnya. Jauh di sudut hati berdoa agar si isteri selamat bersalin. Akhirnya mata terlelap dan hanya terbagun hampir jam 7 pagi esoknya.Kelam kabut pergi ke hospital. Rupanya anak sulung ini sudah selamat dilahirkan seawal jam 2 pagi 28 November 1996 itu. Hati yang melonjak dek kegirangan terus menamainya ARCHDEBONEY, dengan harapan dia akan menjadi kebanggaan ILOFIRA suatu hari nanti.






Anak Iloofira yang kedua ini diberi nama ADDBELCURNEY dilahirkan pada 09 Jun 1998 di hospital yang sama. Sewaktu kelahirannya, ayahnya tidak ada di sisi kerana sedang melaksanakan amanat dan tugas kepada bangsa dan negara, di sebuah sekolah pedalaman dalam daerah Beluran, iaitu SK Obah Beluran. Kelahiran bayi comel ini,seolah-olah menyambut bulan ketiga ayahnya selaku Guru Besar di sekolah tersebut. Seorang anak yang tampan, namun punyai pembawaan yang sukar diramal, diharap akan menambah kekuatan hubungan antara komuniti daerah ayah dan ibunya.





Anak Ilofira yang ketiga ini dilahirkan pada 20 Disember 2004, iaitu lima hari sebelum Hari Krismas 2004. Namun, si perawan tetap menjadi HADIAH KRISMAS yang termahal dalam Keluarga Ilofira. Oleh kerana kehadirannya sebagai anak wanita pertama dalam Keluarga Ilofira, maka ia tetap menjadi kebanggaan dan disayangi sebagai wanita pertama adik beradik ILOFIRA. Justeru itu dinamai AVEILOFIRANEY. Semoga si perawan comel ini, dengan gaya dan celoteh yang menghiburkan seisi Keluarga Ilofira, akan membesar dalam pimpinan Tuhan dan diurapi dengan kebijaksanaan menghadapi cabaran di dunia ini.















































































































































































































Tiada ulasan:

Catat Ulasan